Ziarah Kubur Ibu Bapa

ZIARAH KUBUR IBU BAPA

Menziarahi kubur ibu bapa adalah sunat muakkad dan besar pahalanya. Makin bertambah pahalanya – seperti diterangkan dalam hadith-hadith nabi s.a.w. Makin bertambah pahalanya, jika kubur ibu bapa diziarahi pada tiap-tiap hari jumaat dan dibacakan surah Yaasin disisinya. Kelebihan mengenang ibu bapa dengan doa dan dengan menziarahi kuburnya membawa kebaikan bukan sahaja kepada anak-anaknya yang soleh tetapi juga kepada anak derhaka. Seperti dalam sebuah hadith diterangkan: Anak derhaka yang kematian kedua ibu bapanya kemudian dia (menyesal dan bertaubat) dan sentiasa berdoa untuk mereka, nescaya ia diampuni Allah dan dikira sebagai anak yang taat.

ORANG YANG MATI SENTIASA BERHAJAT KEPADA DOA UNTUKNYA

”Kenangkanlah daku dalam doamu”- rayuan ini bukan sahaja terpancar dari orang yang hidup terhadap orang yang hidup, tetapi sentiasa dirayukan oleh orang yang mati. Ini diterangkan dalam hadith maksudnya:

Orang mati dalam kuburnya adalah seperti orang yang sedang tenggelam yang meminta pertolongan. Ia menunggu sampai kepadanya (rahmat) sesuatu doa dari anaknya atau saudaranya atau sahabat handainya. Apabila (rahmat) doa itu sampai kepadanya maka tidak terkira sukacitanya dan dirasainya (rahmat doa itu) lebih berharga daripada dunia dan segala isinya. Sebenarnya hadiah orang-orang yang hidup kepada orang mati ialah: ”Doa dan Istighfar”. (Riwayat oleh Ad-Dailami rahimahullah)

Rayuan rohnya dengan suara yang hiba dan menyayukan hati:

Di dalam hadith juga diterangkan, maksudnya:

Bahawa roh orang-orang mati datang beramai-ramai ke langit dunia pada tiap-tiap malam dan berhenti bertentangan dengan rumah masing-masing. Tiap-tiap satu roh di antaranya menyeru berkali-kali dengan suara yang hiba dan sayu, katanya:

Wahai ahli rumahku! Wahai kaum kerabat dan anak-anakku! Wahai orang-orang yang telah mendiami rumah kami, dan yang telah membahagi-bahagi dan menerima harta pusaka peninggalan kami, adakah sesiapa di antara kamu yang masih ingat kepada kami atau yang pernah memikirkan keadaan kami yang sedang berada di alam Barzakh?...kenanglah kami dan bantulah kami dengan doa dan amal-amal yang salih, semoga Allah memberi rahmat kepada kamu...

Setelah puas menyeru dan merayu, kembalilah kumpulan roh itu ke tempat masing-masing untuk datang lagi pada malam berikutnya.

Jika ada yang mendoakannya, kembalilah ia dengan gembira.   Jika tidak, kembalilah ia dengan hiba dan hampa. [Hadith yang menyayukan hati ini disebutkan dalam I’anah at-Talibin (2:144) ] 

Kedua-dua hadith ini menerangkan setakat mana berhajatnya orang yang mati kepada doa orang-orang yang hidup.

Sebab itulah kita diberi panduan di dalam al-Qur’an [ Diantaranya: ayat 41, surah Ibrahim, dan ayat 10, surah Al-Hasyr ] supaya tiap-tiap seorang sentiasa berdoa memohon rahmat bukan sahaja bagi dirinya, ibu bapanya dan kaum kerabatnya tetapi juga bagi umat Islam umumnya, yang hidup dan yang mati. Jika si mati orang salih maka doa itu dapat meninggikan darjatnya, dan jika ia berdosa maka doa itu dapat menyelamatkannya dari azab (atau meringankan tanggungannya). Tanwir al-Qulub (217)

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Penggunaan Huruf Besar Dan Huruf Kecil Dalam Penulisan Bahasa Melayu

Kepelbagaian Penggunaan Perkataan 'dalam'