SOLAT BERKASUT (DLM PENERBANGAN)

Syarat bagi solat berkasut.    
Hanya ada satu syarat bagi solat memakai kasut, iaitu memastikan dengan penglihatan biasa bahawa tiada kesan-kesan najis atau kotoran yang melekat padanya. Hadith berikut dari Abu Said al-Khudri radiallahu-anhu dijadikan hujah:
Bahawasanya Nabi sallallahu-alaihi-wasallam solat dengan berkasut. Dikala sedang solat beliau membuka kasutnya lalu perbuatan ini diikuti oleh para makmum. Sesudah selesai solat Nabi sallallahu-alaihi-wasallam bertanya: Mengapa kalian membuka kasut-kasut kalian ? Mereka menjawab: Kami melihat tuan membukanya maka kamipun membukanya. Mendengar itu Nabi sallallahu-alaihi-wasallam berkata: Jibril datang kepadaku mengkhabarkan bahawa pada kasutku ada kotoran. Maka apabila kamu datang ke masjid hendaklah kamu balikkan kasut dan lihatlah apakah ada kotoran di telapaknya. Jika ada sapulah ia dan gosoklah ia dengan tanah, kemudian solatlah dengan memakainya.
Dari hadith di atas dapat difahami bahawa kasut tersebut mestilah bersih dari kotoran atau najis. Kepastian samada terdapat kotoran atau tidak adalah dengan melihatnya dengan mata kasar dan tidaklah dituntut sehingga yang lebih dari itu. Jikalau ternampak kesan kotoran maka memadai dengan menggosoknya atas tanah, tiada lain kecuali tanah. Sekalipun jikalau kotoran itu berupa najis samada kering atau basah maka adalah memadai dengan menggosoknya atas tanah, selari dengan ajaran Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dalam hadith berikut - Apabila di antara kamu memijak najis dengan kasutnya maka debu tanahlah yang mensucikannya. Dari hadith ini majoriti ahli ilmu menukilkan hukum bahawa memadai mensucikan najis pada kasut dengan hanya menggosoknya ke tanah, samada najis kering atau basah. Yang dimaksudkan sebagai majoriti itu ialah Imam al-Auza'iy, Abu Hanifah, Abu Yusuf, Abu Tsaur, Ishaq, Ahmad dan as-Shafie dalam qaul qadimnya. Tidak boleh menggunakan permukaan lain untuk membersih kesan najis pada kasut seperti lantai, permaidani, alas pintu atau lain-lain. Jikalau tiada tanah maka alternatifnya ialah dengan pembasuhan air.
Daripada hadith di atas juga dapat dipelajari beberapa fakta selainnya iaitu -
1.     Kebolehan menyucikan najis dengan menggosoknya di tanah hanya di bolehkan bagi najis di kasut dan tidak bagi di lain-lain bahagian seperti pakaian atau kulit. Jikalau ada najis di pakaian atau kulit maka ia wajib di bersihkan sebagaimana yang di ajar syari'at dalam bab kebersihan najis. [ Najis ringan (Mukhaffafah), najis pertengahan (Mutawasitah) dan najis berat (Mughallazah) ]
2.     Jikalau sedang solat lalu disedari ada kotoran yang terkena atau terlekat maka boleh dibersihkan atau dipisahkan kotoran itu dan kemudian meneruskan solat di mana yang tertinggal. Pergerakkan yang harus dalam solat tidaklah membatalkan solat itu malah ia tetap sah (Sila lihat huraian ini dalam bab akan datang). Contohnya jikalau disedari atau diberitahu orang bahawa di songkoknya ada jatuhan tahi burung maka dibolehkan membuka songkok itu, meletaknya di tepi dan kemudian teruskan solat. Hanya jikalau kotoran itu berupa najis yang banyak dan tidak boleh di bersihkan terus selain dengan air atau sebagainya maka adalah sebaiknya diulangi solat itu semula.
3.     Para sahabat apabila mereka dapati Nabi sallallahu-alaihi-wasallam melakukan sesuatu perkara dalam hal ibadah, mereka terus akan mengikutinya tanpa keberatan atau banyak alasan. Perhatikanlah hadith di atas - apabila sahaja Nabi sallallahu-alaihi-wasallam membuka kasut ketika sedang solat, para sahabat terus mengikuti beliau tanpa bertanya atau ragu-ragu. Di dalam banyak hadith-hadith lain juga kita dapati para sahabat segera mengikuti apa yang dilakukan oleh Nabi sallallahu-alaihi-wasallam terutamanya dalam hal-hal ibadah dan keagamaan tanpa banyak soal atau kerenah. Selepas diikuti barulah ditanya atau diberitahu akan sebab-sebab sesuatu perbuatan tersebut. Beginilah sepatutnya contoh yang patut kita umat Islam teladani, iaitu taat dan patuh kepada sunnah Nabi sallallahu-alaihi-wasallam tanpa apa-apa keraguan atau keberatan. Sikap sebegini dipuji oleh Allah Azza waJalla dalam firmanNya -
Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak kepada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: "Kami dengar dan kami taat"; dan mereka itulah orang-orang beroleh kejayaan. [Maksud surah an-Nur 24, ayat 51]
4.     Pengakhir hadith ini menunjukkan anjuran serta keutamaan memakai kasut dalam solat, iaitu dari sabda Nabi sallallahu-alaihi-wasallam yang bermaksud  ………kemudian solatlah dengan memakainya. Di kalangan ahli fiqh terdapat perbincangan mendalam samada solat berkasut itu adakah ianya sunat atau harus hukumnya. Walaubagaimanapun yang pasti ia adalah sunnah Nabi sallallahu-alaihi-wasallam yang mulia yang patut kita ikuti apabila wujud suasana yang menjemputnya.
Sukar atau senang suasana bukanlah penentu bagi solat dengan kasut atau tidak, sepertimana yang diterangkan oleh Prof. Dr. Hasbi as-Shiddieqie - Solat dengan memakai kasut adalah boleh walaupun mudah membukanya. Dan ini bukanlah kemaafan bagi kasut yang panjang sahaja (kasut But - P) kerana mengingat sukar membukanya. Najis-najis yang terdapat pada kasut itu dimaafkan sesudah digosok kasut itu dengan tanah. Bahkan sebahagian ulama' berkata - demikianlah cara yang lebih utama( iaitu solat berkasut-P).

Comments

Popular posts from this blog

Penggunaan Huruf Besar Dan Huruf Kecil Dalam Penulisan Bahasa Melayu

Kepelbagaian Penggunaan Perkataan 'dalam'